Wednesday, January 18, 2012

Jatuh. Lihat pada gaung atau tali?

Assalamualaikum.

Tiada manusia yang berjaya dalam semua yang dilakukannya dan kewujudan kita ini sebenarnya mesti menempuh kegagalan. Yang penting ialah kita tidak menjadi lemah semasa kegagalan itu terjadi dan kekalkan usaha hingga ke akhir hayat. – Joseph Conrad-

Jujur saya katakan, saya bukan orang baru dalam belajar mengenai ilmu Islam. 11 tahun menjadi pelajar sekolah agama, setahun sebagai pelajar di tadika Islam. Tapi, hasilnya saya rasa sendiri kini. hasil yang tak seberapa, hasil yang tak setaraf dengan pelajar 11 tahun didikan agama di sekolahnya. Kenapa? Betapa perasaan cukup dengan bersekolah agama yang saya rasakan dulu, tak membawa kepada siapa saya patut jadi sekarang. Perasaan yang akhirnya, membuat saya tertunduk menangis. Menangis kerana saya ego pada Tuhan.

Masuk pada realiti dunia sebenar, melihat rakan-rakan saya yang sama umur seperjuangan mereka dengan saya, melihat bagaimana mereka bernafas sekarang, laluan sosial mereka, cara pandang dan fikir mereka. Semuanya berkisarkan At-Tauhid. Sedangkan saya?

Saya mencari kekuatan, saya bangun berdiri, yakin pada Allah yang Dia akan sentiasa membantu saya mencari balik lorong yang saya telah tutup mata untuk masuk ke dalam nya. Sedangkan lorong yang saya tinggalkan itulah lorong cahaya. Saya paksa diri untuk bangkit, saya lawan nafsu saya, kerana saya terlihat akan ayat ini,

Katakanlah (Wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaku yang telah melampaui batas terhadap diri sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya dialah jua yang Maha Pengampun; lagi Maha Mengasihani”. Al-Zumar:53

Saya pernah merasa sebuah kemenangan dahulu, tapi akhirnya semua itu membawa saya kepada kegagalan. Gagal menjadi seorang pemenang. Tewas dengan akal dan pemikiran ego sendiri. Saya jatuh menjunam, dan jika tidak kerana Allah tarik saya semula ke atas, mungkin saya makin jauh jatuh ke dalam gaung syaitan. Cuma kadangkala, apabila Allah tarik saya semula ke atas, pegangan saya goyah, saya letih. saya penat menggenggam seurat tali yang kukuh. Saya hampir jatuh. Semula.

Saya hampir jatuh. Semula.
Saya hampir jatuh. Semula.
Saya hampir putus. Asa

Dalam keadaan saya yang hampir jatuh semula, air mata saya jatuh sekali. Saya kesal kerana saya tak kuat. Saya jerit dalam hati, "Ya Allah, tarik aku kuat lagi, Ya Allah, jangan biar aku, Ya Allah, aku tak mahu jatuh lagi, Ya Allah, aku takut".

Kekuatan itu datang semula. Merasakan kasih sayang Allah yang jatuh makin banyak atas diri. Kasih sayang dari segi nikmatnya, ujiannya, akal fikiran dan ilham dan juga kehadiran orang sekeliling yang membantu. Saya tidak hiraukan perasaan-perasaan negatif yang datang. Saya tekad pada diri, takmau kalah pada syaitan, biarpun saya terpaksa bersusah pada mulanya. Kini, saya sedang naik lagi, sedang berpaut lagi. Walau hanya naik beberapa centimetre, saya takkan benarkan diri saya jatuh lagi. Takkan sesekali-kali benarkan perasaan putus asa datang lagi. Saya sudah malu pada Dia yang sering menyelamatkan saya.

Saya mahu bina diri saya dengan kekuatan Islam, saya juga mahu rakan-rakan saya bina diri mereka dengan kekuatan Islam. Walaupun kamu baru belajar mengenai Islam, jangan sekali-kali putus asa untuk berubah, marilah sama-sama kita tegakkan panji Islam, satu-satunya agama yang diredhaiNya, kita sambung perjuangan Rasulullah s.a.w dan sahabat-sahabat baginda. Saya mohon doa dari rakan-rakan.

Wahai anak-anakku! Pergilah kamu, carilah (berita) tentang Yusuf dan saudaranya dan janga kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya yang berputus asa dari rahmat Allah, hanyalah orang-orang kafir. Yusuf ; 87.


Diri ; usah kau hilang lagi. 













2 comments:

the cerebro said...

good. come from heart i think

Syed Putra said...

Doa untuk tidak berpaling dari jalan kebenaran setelah dihidayahkan:

Rabbana La Tuzigh Qulubana Ba'da iz Hadaitana wa Hablana min Ladunka Rahmah, Innaka antal Wahhab!

Sha boleh!